Ticker Kotak + Masa + Permohonan
Memuatkan…
PERMOHONAN ONLINE

BERITA & AKTIVITI

HUFFAZ TEKNOKRAT ADTEC JTM KAMPUS SELANDAR GEGAUKAN MELAKA, SISA JADI KARYA, REKOD MALAYSIA BOOK OF RECORDS DIUKIR

6-7 Ogos 2026 - Melaka bukan sekadar menjadi tuan rumah Hari Landskap Negara 2026. Melaka menjadi saksi apabila anak-anak TVET TAHFIZ, ADTEC JTM Kampus Selandar tampil mencipta sejarah!

Seramai 18 pelajar Semester 3 daripada Kursus Teknologi Rekabentuk Produk Industri, ADTEC JTM Kampus Selandar, telah berganding bahu bersama kira-kira 300 sukarelawan daripada 15 agensi seluruh negara dalam menjayakan Program Kitar Semula Sisa Kayu bagi Penghasilan Perabot Terbanyak.

Kumpulan ADTEC JTM Kampus Selandar terdiri daripada Ts. Haji Mohd Nizan Bin Abu Bakar selaku penasihat, Ts. Nornizaha Binti Ismail selaku ketua kumpulan bersama-sama barisan pengajar iaitu Encik Mohamad Firdaus Bin Hamidun, Encik Mohd Faizal Bin Md. Rosli, Tuan Haji Mohd Shafry Bin Salam, Puan Azleen Binti Mat Lazih, Puan Noor Azliana Binti Md Yussof dan Encik Mohamad Hatta Bin Mohamed Nor. 

Daripada 1,200 palet kayu terpakai seberat 26 tan, berjaya ditransformasikan menjadi 361 unit perabot melalui usaha sama kreativiti, kemahiran, kerja berpasukan dan teknologi. Lebih membanggakan, penglibatan pelajar ADTEC JTM Kampus Selandar turut mendapat perhatian dan penghargaan daripada YB Datuk Rais Bin Datuk Wira Yasin, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka.

Kemuncak sambutan ini turut menyaksikan YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR) pada majlis perasmian sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, menjadikan pentas ini semakin bermakna buat seluruh warga TVET yang terlibat.

Mereka bukan sekadar pelajar TVET. Mereka adalah HUFFAZ TEKNOKRAT. Anak-anak muda yang menghafaz al-Quran, mempelajari kemahiran teknikal, menguasai teknologi dan mencipta inovasi. Rekod ini bukan sekadar angka yang tercatat dalam sejarah. Ia adalah bukti bahawa apabila ilmu agama bertemu kemahiran TVET, lahirlah generasi yang bukan hanya berilmu, tetapi mampu menghasilkan penyelesaian sebenar.
Inilah wajah TVET TAHFIZ.

Slide