UCAPAN ALUAN PENGARAH


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Selamat Datang ke Portal Rasmi Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Selandar, Melaka.

ADTEC JTM Kampus Selandar, yang dahulunya dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, merupakan sebuah institusi latihan kemahiran di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia (KSM). Ditubuhkan pada 14 Mei 2004 di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8), institusi ini dibina di atas tanah seluas 55 ekar di Mukim Selandar, Daerah Jasin, Melaka. Dengan kapasiti 660 pelajar serta tenaga pengajar dan kakitangan seramai 70 orang, ADTEC JTM Kampus Selandar terus komited dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri.

Sebagai sebuah institusi TVET termaju, ADTEC JTM Kampus Selandar berperanan menyediakan latihan kemahiran kepada belia lepasan sekolah bagi memenuhi permintaan industri dalam bidang kritikal seperti:

  • Teknologi Komputer (Sistem)
  • Teknologi Komputer (Rangkaian)
  • Teknologi Komputer (Multimedia Interaktif)
  • Teknologi Minyak & Gas (Lukisan Perpaipan)
  • Teknologi Rekabentuk Produk Industri

Selain itu, ADTEC JTM Kampus Selandar juga menjadi pusat latihan kemahiran bagi pekerja industri yang ingin meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran (reskilling & upskilling) melalui Kursus Jangka Pendek (KJP). Program ini terbuka kepada sektor swasta dan kerajaan dalam pelbagai bidang berkaitan. Kami sentiasa berusaha memastikan latihan yang ditawarkan sejajar dengan keperluan tenaga kerja semasa, sekaligus memperkukuh hubungan strategik dengan pihak industri dan agensi berkaitan.

Seiring dengan era Industri 4.0, ADTEC JTM Kampus Selandar berusaha memperkasakan latihan kemahiran dalam bidang pengkomputeran dan teknologi pintar. Tenaga pengajar kami sentiasa komited dalam menerapkan inovasi terkini bagi memastikan graduan kami berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja masa kini.

Pelbagai kemudahan moden turut disediakan di kampus ini untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selesa, kondusif, dan efektif bagi para pelajar serta tenaga pengajar.

Kami mengalu-alukan kehadiran anda ke Portal Rasmi ADTEC JTM Kampus Selandar. Semoga portal ini dapat menjadi sumber rujukan yang bermanfaat untuk mengenali institusi kami dengan lebih mendalam.

"Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Depan."

Sekian, terima kasih.

“One Team One Dream”

 

Wassallam,

Ts. ROSTAM BIN HASHIM

Pengarah ADTEC JTM Kampus Selandar @ ULUL ALBAB