15 Ogos 2026 - Bertempat di Surau As-Syakirin, ADTEC JTM Kampus Selandar telah berlangsung Kursus Tahsin Solat Siri 1 yang dianjurkan oleh BAHAGIAN PENGAJIAN UMUM DAN TAHFIZ sebagai usaha memperkukuh kefahaman dan amalan ibadah solat dalam kalangan pelajar.
Solat merupakan tiang agama dan kewajipan paling asas bagi setiap muslim sebelum melaksanakan tuntutan ibadah yang lain. Justeru kursus ini dilaksanakan bagi melahirkan pelajar yang mampu mengerjakan solat dengan lebih sempurna, bukan sahaja dari sudut bacaan, perbuatan dan rukun, malah turut menghayati kepentingan solat dalam kehidupan seharian.
Kepentingan solat turut ditegaskan dalam firman Allah SWT, Surah Al-Ankabut, ayat 45: “Dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan mungkar.”
Seiring dengan objektif tersebut, para peserta sepanjang kursus telah didedahkan dengan tatacara wuduk yang sempurna, perkara-perkara yang membatalkan wuduk dan solat, bacaan serta perbuatan dalam solat. Peserta turut diberi penerangan berkaitan pelaksanaan solat berjemaah, khususnya mengenai kedudukan makmum muwafiq dan makmum masbuq.
Melalui pengisian yang diberikan, diharapkan para peserta dapat meningkatkan kefahaman, memperbetulkan amalan serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Semoga kursus ini terus menjadi salah satu usaha dalam membentuk pelajar ADTEC JTM Kampus Selandar yang bukan sahaja kompeten dalam bidang TVET, malah mempunyai sahsiah, disiplin dan nilai kerohanian yang baik.