5 Ogos 2025 - Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM Kampus Selandar telah menganjurkan Program CSR bersama Madrasah An-Nuriah, Klebang Kecil, Melaka. Program ini melibatkan tenaga pengajar dan pelajar dalam bidang Industrial Product Design (IPD) yang berganding bahu menghasilkan rehal untuk kegunaan para pelajar tahfiz di madrasah tersebut.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar ADTEC untuk mengaplikasikan kemahiran teknikal mereka, malah turut menyemai nilai keprihatinan, kerjasama dan semangat memberi kembali kepada masyarakat. Dengan adanya sumbangan rehal ini, diharapkan ia dapat memudahkan dan memberi keselesaan kepada anak-anak tahfiz dalam proses pembelajaran mereka.
Program sebegini menjadi bukti komitmen JTM dalam menggalas peranan sebagai institusi TVET yang bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan kemahiran, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.