BERITA & AKTIVITI

BENGKEL MIKROBOTIK DI SEKOLAH KEBANGSAAN CHENDERAH, JASIN MELAKA

 

06 Ogos 2024 – Pusat Kegiatan Guru (PKG) Masjid Baru, Asahan, Jasin dengan kerjasama ILP Selandar telah menganjurkan bengkel mikrobotik di Sekolah Kebangsaan Chenderah Jasin. Bengkel ini telah melibatkan seramai 80 orang murid terdiri daripada murid darjah 3 hingga darjah 6 sekolah tersebut.
 
Dalam bengkel ini, dua teraju utama kepakaran iaitu Pn. Haizan dan En. Saimi di bantu oleh beberapa orang pengajar dan fasilitator dari ILP Selandar yang telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang robotik. Murid-murid juga telah diberikan pendedahan tentang komponen mikrobotik, cara-cara pengekodan arahan, serta langkah-langkah penjagaan robot yang baik.
 
Salah satu aspek penting yang dibincangkan dalam bengkel ini adalah komponen mikrobotik. Para pelajar diajar tentang komponen-komponen utama yang terdapat dalam mikrobotik dan bagaimana setiap komponen berfungsi. Pengetahuan ini akan membolehkan para pelajar untuk memahami dan mengendalikan mikrobotik dengan lebih baik.
 
Selain itu, murid-murid juga diajar tentang cara-cara pengekodan arahan dalam mikrobotik. Pengekodan arahan adalah langkah penting dalam mengendalikan robot dan memastikan bahawa robot bergerak mengikut arahan yang dikehendaki. Dalam bengkel ini, murid-murid diberikan pendedahan tentang jenis pengekodan arahan dan cara-cara mengaplikasikannya dalam mikrobotik.
 
Diharapkan dengan adanya Bengkel Mikrobotik ini, para pelajar Sekolah Kebangsaan Chenderah akan dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang robotik. Keupayaan mereka untuk mengendalikan mikrobotik dengan baik akan memberi impak positif kepada pembelajaran di sekolah.
Slide